Terminologi NVH



Berikut adalah beberapa istilah asas yang sering digunakan dalam membincangkan mengenai  masalah berkaitan NVH.



Kitaran (Cycle)

Kitaran ialah laluan pergerakan  gelombang  sebelum gelombang tersebut mengulangi laluan yang sama. Sebagai contoh, untuk gelombang sinus ia bermula daripada titik 0 volt, kitaran ini akan lengkap apabila ia kembali pada kedudukan 0V dari voltan negatif. 



Dalam contoh ini, gelombang akan bergerak daripada titik 0V ke bahagian voltan positif , kemudian bergerak ke titik 0V dan melalui kawasan voltan negatif sebelum kembali semula ke titik 0V. Kitar akan lengkap setelah gelombang berada di titik 0V setelah melalui kawasan voltan negatif.



 

Frekuensi

Frekuensi ialah bilangan kitaran lengkap yang berlaku dalam satu saat. Bunyi dan gelombang getaran diukur dalam Hz, atau Kitaran Per saat (CPS). Satu Hz adalah sama dengan satu kitaran per saat (CPS).



Gelombang bunyi dalam rajah di bawah mempunyai frekuensi 7 Hz kerana ia melengkapkan tujuh CPS. Frekuensi bunyi atau getaran boleh membantu dalam menyelesaikan masalah berkaitan NVH.






Amplitud

Amplitud merujuk kepada ukuran menegak antara bahagian atas dan bahagian bawah gelombang. Dua gelombang boleh mempunyai frekuensi yang sama, mungkin mempunyai amplitud yang berbeza. Amplitud ialah kuantiti atau jumlah tenaga yang dihasilkan oleh komponen bergetar.


 




Nada (pitch)

Nada atau kenyaringan bunyi ialah kualiti fizikal bunyi yang berkaitan dengan frekuensi gelombang.

Bunyi yang mempunyai frekuensi yang tinggi (bilangan kitaran sesaat tinggi) akan menghasilkan bunyi yang nyaring, sebaliknya bunyi yang mempunyai frekuensi yang rendah (bilangan kitaran sesaat yang rendah) akan menghasilkan bunyi yang kurang nyaring.



Bunyi berdecit yang dihasilkan oleh tali sawat ialah contoh bunyi bising  yang bernada tinggi. Bunyi seperti ini akan menimbulkan perasaan kurang senang pada kebanyakan orang. Sebuah galas penggelek (roller bearing) yang membuat bunyi bising ialah satu contoh bunyi bising yang bernada rendah.




 



Intensiti bunyi

Intensiti bunyi atau keamatan bunyi ialah kualiti fizikal bunyi yang berkaitan dengan jumlah dan arah aliran tenaga akustik pada kedudukan yang diberikan. Rajah di bawah menggambarkan dua gelombang bunyi dengan frekuensi yang sama tetapi amplitud yang berbeza (tahap intensiti yang berbeza).



Intensiti bunyi diukur dalam desibel. Desibel ialah unit untuk menyatakan perbezaan relatif dalam kuasa antara isyarat akustik. Bunyi yang lebih besar daripada 160 desibel adalah berbahaya kepada pendengaran manusia. Perbezaan nada, sumber bunyi, atau orang yang mendengar bunyi boleh menyebabkan bunyi mempunyai kadar intensiti yang sama mempunyai tahap kelantangan yang berbeza.






Resonans

Resonans bermaksud suatu sistem yang bergetar dengan amplitud maksimum. Resonans berlaku apabila suatu sistem bergetar dengan frekuensi yang sama dengan frekuensi semula jadinya. Frekuensi asli ialah frekuensi satu sistem yang bergetar tanpa sebarang daya luar bertindak ke atasnya.



Frekuensi semula jadi untuk sistem gantungan (suspension sistem) kenderaan ialah 10 hingga 15 Hz. Keadaan ini dipilih untuk tujuan keselesaan dan keselamatan kenderaan. Frekuensi semula jadi  ini adalah tetap dan tidak dipengaruhi oleh kelajuan kenderaan. Apabila kelajuan kenderaan bertambah, kadar pusingan roda akan turut meningkat, frekuensi gangguan yang dihasilkan oleh keadaan tayar yang tidak seimbang akan turut meningkat.  Pada satu tahap tertentu, frekuensi tayar yang tidak seimbang akan berada pada kadar yang sama dengan frekuensi semula jadi sistem gantungan, ini akan menyebabkan sistem gantungan bergetar, keadaan ini dipanggil resonans.


Amplitud getaran adalah paling besar pada masa resonans. Walaupun gegaran dapat dirasai di atas dan di bawah kelajuan masalah ini, ia adalah yang paling menonjol pada masa resonans. Resonans menjelaskan mengapa getaran tayar berlaku pada kelajuan kenderaan tertentu. Jika sistem gantungan kenderaan mempunyai frekuensi 13 Hz, sistem gantungan akan bergetar dengan kuat pada julat 13Hz.  Kenderaan ini akan bergetar pada kelajuan 39 bsj, 52 bsj dan 65 bsj kerana pada kelajuan kadar frekuensi getaran tayar adalah sama dengan kadar frekuensi semula jadi sistem gantungan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Stereng kuasa elektrik (Electric power steering)

Fungsi sistem pelinciran kenderaan

Komponen utama kenderaan hibrid