Dr Auto ILPKL (drautoilpkl.weebly.com) adalah model yang diadaptasi dari model School Enterprise (SE) yang diperkenalkan oleh Nik Kafka melalui NGO Teach A Man To Fish yang beribu pejabat di Finsbury Park, London bermula dari tahun 2006. SE diperkenalkan sebagai satu sistem pendidikan yang menyediakan pelajar dengan pengetahuan asas untuk bekerja, hidup dan terus belajar selepas tamat pengajian di dalam sistem pendidikan rasmi. Golongan sasar program ini terdiri daripada pelajar yang berada di Afrika, Latin Amerika dan Asia.
Sebagai
satu usaha untuk menggalakkan sekolah di seluruh dunia melibatkan diri di dalam
program SE, Teach A Man To Fish telah
menganjurkan School Enterprise Challenge
yang menawarkan hadiah sebanyak USD50,000. Pada tahun 2016, sebanyak 5265
sekolah dari 106 negara telah mengambil bahagian di dalam program ini. Melalui
program ini pelajar diajar mengenai cara untuk menjalankan perniagaan
sebenar untuk mendapatkan keuntungan yang boleh digunakan untuk membantu
membiayai kos operasi sekolah atau badan amal pilihan mereka.
Di
Malaysia, Institusi kemahiran seperti Giat Mara, Kolej Vokasional dan IKBN
serta Universiti Awam telah menubuhkan inkubator yang bertujuan untuk
mendedahkan bidang keusahawanan sebagai satu cabang pekerjaan kepada pelajar.
Kerajaan
Malaysia melalui Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDEC) telah
memperkenalkan persidangan Daya e-Usahawan yang bertujuan untuk mengiktiraf
pencapaian pelajar yang mampu menjana pendapatan yang tertinggi melalui program
pembangunan usahawan yang dijalankan di tempat mereka menuntut ilmu. Untuk tahun
2016, seramai 3000 peserta dari seluruh Malaysia telah terpilih untuk menyertai
program yang amat berprestij ini. Penyampaian anugerah yang terdiri daripada
pelajar terbaik, usahawan mikro terbaik dan pusat bidang pendidikan teknikal
dan latihan vokasional (TVET) terbaik ini telah disampaikan oleh Datuk Seri
Najib Razak.
Sejarah penubuhan Dr Auto ILPKL
Dr Auto
ILPKL telah dirasmikan oleh Datuk Romli Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha
(Operasi), Kementerian Sumber Manusia selaku wakil rasmi kepada Timbalan Menteri Sumber
Manusia, pada 2 April 2015, bersempena dengan Majlis pemeteraian kerjasama
pintar antara ILPKL dengan UiTM berkaitan kerjasama pembangunan sumber manusia
dalam bidang teknologi solar fotovoltan.
Objektif
penubuhan Dr Auto ILPKL ialah untuk meningkatkan kompetensi serta
kebolehpekerjaan graduan ILPKL khususnya di bidang Automotif, mendedahkan
pelajar kepada situasi pekerjaan sebenar, menawarkan perkhidmatan pembaikan
kenderaan kepada komuniti setempat
dengan kos yang berpatutan serta membantu lepasan sekolah,pekerja industri dan
orang ramai meningkatkan kemahiran di dalam bidang Automotif.
Pada peringkat awal penubuhannya Dr Auto ILPKL hanya menawarkan kursus
kemahiran penyelenggaraan kenderaan untuk kakitangan di bawah Kementerian
Sumber Manusia dan komuniti secara percuma. Kursus pengenalan teknik
penyelenggaraan kenderaan secara percuma ini telah diadakan sebanyak 3 siri pada tahun 2015 dan telah dihadiri oleh seramai 16 orang
peserta.
Dr Auto
turut menjalankan kerja pembaikan ringan pada setiap hari Jumaat sebagai salah satu
program khidmat masyarakat (CSR) serta aktiviti promosi untuk memperkenalkan Dr
Auto ILPKL kepada komuniti setempat. Aktiviti pembaikan kenderaan dijalankan
oleh para pelajar di bawah pengawasan pengajar pakar yang telah berkhidmat
sebagai pengajar di antara 5 hingga 25 tahun. Menurut rekod sehingga Mei 2017,
sebanyak 300 buah kenderaan telah mendapatkan perkhidmatan membaiki kenderaan
yang disediakan oleh Dr Auto ILPKL.
Kerjasama strategik 2017
Sebagai
salah satu usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kerjasama dengan industri
Dr Auto ILPKL sedang berbincang dengan pelbagai pihak seperti Universiti
Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam
Antarabangsa (UIA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perodua, Honda
Malaysia, Nano Malaysia,Clear Carbon Malaysia, FSA Racing, SRT Racing, IDEAS
CAD Technology, Teraju dan Spanco bagi meneroka ruang kerjasama yang baru pada
masa akan datang.
eUsahawan
Revolusi
Industri 4.0 yang dipacu oleh pelbagai gajet canggih seperti telefon pintar dan
tablet telah merubah gaya hidup manusia, jika dulu manusia membeli barangan
kerana terpengaruh dengan iklan yang disiarkan oleh TV dan radio, kini manusia
membeli barangan kerana faktor seperti harga, kualiti dan kaedah pembelian yang
mudah. Revolusi 4.0 juga akan menyebabkan kerja tradisional mengecil atau
pupus.
Untuk
mengatasi masalah ini usahawan terkenal seperti Jack Ma dan Robert Kiyosaki
mengusulkan supaya semua orang menjadi usahawan. Usahawan akan mampu untuk
mengenal pasti ruang dan peluang
pekerjaan baru sesuai dengan peredaran zaman semasa. Usahawan juga mampu
menjana pendapatan sendiri serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang
lain.
Program
eUsahawan (eusahawan.mdec.my) telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib
Tun Abdul Razak pada 23 November 2015. Program eUsahawan merupakan salah satu
inisiatif kerajaan untuk menerapkan nilai dan ilmu keusahawanan digital di
kalangan golongan belia dan usahawan mikro.
Program
eUsahawan terbahagi kepada dua; eUsahawan muda dan eUsahawan Desa. eUsahawan
Muda merupakan program kerjasama antara MDEC dan Institusi Pendidikan Teknikal
dan Latihan Vokasional (TVET) bagi memperkasakan keusahawan digital di
peringkat akar umbi. Kerjasama ini melibatkan penerapan ilmu keusahawan digital
ke dalam kurikulum pendidikan demi memberi pendedahan kepada para pelajar untuk
menerokai peluang sebagai usahawan digital. eUsahawan Desa pula merupakan
program keusahawanan digital untuk usahawan mikro. Program jangka pendek selama
2 hari dijalankan di institusi TVET dan pusat latihan yang terpilih di seluruh
negara.
Dr Auto MOST Team
Bagi
merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan dari
kalangan pelajar TVET, Dr Auto ILPKL dengan kerjasama Mobile Oil Service Team
(MOST) telah melancarkan Dr Auto MOST Team pada 15 Jun 2017.
Melalui
kerjasama dengan MOST, Dr Auto ILPKL yang berfungsi
sebagai MOST drive thru mampu menawarkan servis pembaikan kenderaan dengan
pakej yang berpatutan selama 5 hari seminggu dari jam 8.00 pagi hingga 5.00
petang.
MOST
turut menawarkan peluang perniagaan kepada para pelajar dengan modal serendah RM80.00 sahaja. Rakan
niaga MOST dikenali sebagai MOST Technician.
Penjenamaan dan pemasaran Dr Auto
Untuk
memudahkan penjenamaan, semua MOST drive thru yang beroperasi di dalam premis
ILJTM akan menggunakan jenama Dr Auto. Sehingga 8 Ogos 2017, sebanyak 7 buah
ILJTM yang terdiri daripada ADTEC Melaka, ILP Kuala Lumpur, ILP Mersing, ILP
Pasir Gudang, ILP Jitra, ILP Kota Bahru dan ILP Kota Kinabalu telah mengguna
pakai jenama Dr Auto untuk menjalankan perkhidmatan membaiki kenderaan sebagai
salah satu program keusahawanan. Usaha secara berterusan sedang dijalankan bagi
mengembangkan lagi model perniagaan ini ke kesemua ILJTM yang menjalankan
kursus Automotif.
Penjenamaan
(branding) dan pemasaran (marketing) jenama Dr Auto dilakukan dengan
menggunakan media digital. Menurut kajian yang dibuat oleh netmarketshare.com, Internet digunakan untuk mencari maklumat
sebanyak 6,586,013,574 kali dalam sehari, daripada jumlah itu Google digunakan
sebanyak 4,464,000,000 kali sehari. Kajian tersebut turut mendedahkan bahawa
sehingga April 2017, 77% dari pengguna Internet
di seluruh dunia menggunakan Google untuk mencari maklumat.
Untuk memudahkan pengguna Internet mendapatkan maklumat berkaitan Dr
Auto ILPKL, lokasi Dr Auto ILPKL telah didaftarkan melalui aplikasi Google My Business, pengguna Internet juga
boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Dr Auto ILPKL melalui laman web, drautoilpkl.weebly.com
serta laman facebook Dr Auto ILPKL.
Hasil carian di enjin carian Google pada 21/8/2017, kata kunci Dr Auto
menghasilkan 248 juta hasil carian dan maklumat berkaitan Dr Auto ILPKL di
paparkan di muka surat pertama di kedudukan 6. Dalam masa yang sama carian
dengan kata kunci Dr Auto ILPKL menghasilkan 373 hasil carian dengan laman Dr
Auto ILPKL berada di kedudukan
teratas dan facebook Dr Auto ILPKL berada di kedudukan kedua.
ILPKL Motorsport
Pasukan Motorsport ILPKL
telah dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia Datuk Chin Phaik Yoong
pada 23 September 2014. Objektif utama penubuhan pasukan ini ialah untuk mempromosikan ILPKL kepada masyarakat melalui sukan pemotoran.
Sehingga
hari ini pasukan Motorsport ILPKL telah menghasilkan 3 buah jentera kart dan
sebuah kereta drag.
Kejayaan
yang telah dicapai oleh jentera Satria Neo ialah tempat kelima di dalam
kategori kelas H, Melaka Time Attack Wars 2015, di MITC Melaka; tempat ketiga
di dalam Kelas J, KLFX Superspeed Malaysia Finale 2016 serta mendapat tempat ke
enam di dalam Revmax Time Attack 1st Anniversary 2017 di MITC Melaka.
Jentera
perlumbaan go kart pula telah menyertai 2 kejohanan eimaRace pada tahun 2015
dan 2016 seta berjaya berada di kedudukan ke 5 di dalam pertandingan 2015,
manakala pertandingan eimaRace 2016 berakhir dengan tanpa sebarang keputusan
rasmi kerana insiden yang berlaku semasa sesi perlumbaan sedang berjalan.
Sebagai
salah satu usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan
pembinaan jentera perlumbaan pasukan ILPKL Motorsport telah bekerjasama dengan
beberapa syarikat seperti SRT Racing, FSA Racing, Idea Cad Technology dan
Mentari Academy, untuk mendapatkan khidmat nasihat serta mempelajari teknik
pembinaan jentera perlumbaan yang berkesan.
Kerjasama di antara Pasukan
Motorsport ILPKL dengan Pesona Aman Sdn Bhd (Pesona Aman) yang bermula pada 12
April 2017, telah membuka ruang untuk pasukan Motorsport ILPKL bergiat secara
aktif di dalam perlumbaan go kart profesional, sehingga Ogos 2017, ILPKL telah
terlibat di dalam 3 siri kejohanan Rotax MAX challenge yang melibatkan peserta dari pelbagai negara Asia seperti India, Taiwan,
Indonesia, Hong Kong dan Thailand.
Untuk memantapkan
lagi pengetahuan pelajar berkaitan dunia Automotif, ILPKL sedang bekerjasama
dengan Pesona Aman untuk membangunkan 20 buah jentera kart dengan menggunakan
enjin Modenas. Sebanyak 5 unit kart yang
pertama telah diterima pada 8 Ogos 2017 dan kart pertama telah berjaya
disiapkan pada 15 Ogos 2017.
Sukan
pemotoran menawarkan pendapatan yang lumayan. Secara kasar mekanik terlatih
berpeluang meraih pendapatan sehingga RM5000.00 untuk satu kejohanan (5 hari
bekerja) bergantung kepada lokasi di mana kejohanan tersebut diadakan.
Persediaan untuk
menghadapi perubahan teknologi
Dr Auto
ILPKL turut dilengkapi dengan makmal
kenderaan hibrid dan elektrik yang menempatkan peralatan asas untuk menjalankan
kursus penyelenggaraan kenderaan hibrid dan elektrik. Ini adalah merupakan
persediaan awal Jabatan Tenaga Manusia untuk menawarkan kursus EEV-Hybrid System tahap 2 & 3 di masa
akan datang.
Makmal yang terletak di bangunan Syed Mohamad Noor Excellence Center
(SyMNEC) telah dirasmikan oleh Tuan Syed Mohamad Noor Syed Mohd Ali, Timbalan
Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Manusia pada 26 Januari 2017.
Antara peralatan yang terdapat di makmal hibrid ILPKL ialah Toyota Prius
2014, LN Car train dan komponen sebenar yang terdiri
daripada inverter, air cond compressor dan high voltage battery.
Lokasi kami:
Web site Dr Auto ILPKL: drautoilpkl.weebly.com
Facebook Dr Auto ILPKL: https://www.facebook.com/DrAutoILPKL/
Muat turun maklumat Dr Auto ILPKL: http://drautoilpkl.weebly.com/uploads/1/0/8/9/108941633/info_blast_dr_auto_ilpkl.pdf
Jom support:
Ulasan
Catat Ulasan